MALAYSIA dan India sepakat untuk meneruskan momentum hubungan erat serta memperteguh persahabatan yang berakar daripada sejarah panjang dan hubungan akrab antara rakyat kedua-dua negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri India Narendra Modi di New Delhi berkata, mereka memberi tumpuan kepada usaha memperluas kerjasama dalam sektor strategik, khususnya industri semikonduktor.
‘’Malaysia dan India memiliki kekuatan yang saling melengkapi dan boleh digembleng melalui kerjasama industri, integrasi rantaian bekalan, pembangunan bakat serta pelaburan dua hala,’’ katanya melalui Facebook beliau hari ini.
Anwar berkata, beliau juga membangkitkan keperluan untuk memudah cara dan mempercepat kemasukan barangan eksport Malaysia ke pasaran India bagi membuka ruang lebih luas kepada syarikat Malaysia memanfaatkan potensi pasaran India yang besar dan berkembang pesat.
‘’Insya-Allah, Malaysia dan India akan terus memperkukuh persahabatan ini yang saling menguntungkan demi kemakmuran rakyat kedua-dua negara’’ katanya.





