SEORANG remaja perempuan berusia 15 tahun ditemui meninggal dunia di pekarangan sebuah perumahan di Presint 5, Putrajaya, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.33 malam itu, Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya menerima maklumat menerusi talian MERS 999 berhubung kejadian berkenaan.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, siasatan awal mendapati mangsa ditemui terbaring di pekarangan perumahan terbabit.
“Remaja berkenaan tinggal bersama keluarganya di tingkat sembilan bangunan berkenaan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Putrajaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa untuk tindakan lanjut dan bedah siasat dijadualkan dijalankan pada jam 9 pagi, hari ini.
“Kes disiasat di bawah laporan mati mengejut dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.





