DATUK Seri Anwar Ibrahim menggunakan kesempatan menghadiri majlis makan malam sempena Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 di New Delhi untuk membincangkan perkembangan geopolitik dunia, khususnya konflik di Gaza dan ketegangan di Asia Barat, bersama beberapa pemimpin dunia.
Antara pemimpin ditemui Perdana Menteri ialah Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi; Presiden Indonesia, Prabowo Subianto; Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev dan Timbalan Perdana Menteri Uzbekistan, Jamshid Kuchkarov.

Selain mereka, Anwar juga bertemu dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres serta Ketua Pengarah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Ngozi Okonjo-Iweala.
“Bicara kami menyentuh perkembangan geopolitik dunia, khususnya konflik dan krisis kemanusiaan yang terus berlarutan di Gaza serta ketegangan di Asia Barat.
“Keadaan ini menuntut kesatuan tekad masyarakat antarabangsa, khususnya para pemimpin dunia untuk menghentikan pertumpahan darah dan mengusahakan penyelesaian yang adil serta berkekalan,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau hari ini.
Anwar berkata, beberapa perkara berkaitan hubungan dua hala Malaysia-Mesir akan dibincangkan dengan lebih mendalam ketika El-Sisi mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia bulan depan.
Beliau turut memaklumkan perbincangannya dengan Prabowo menyentuh isu kebakaran hutan selain perkembangan konflik di Asia Barat yang disifatkan memerlukan kesepakatan dan tindakan bersama.
“Bersama Presiden Prabowo Subianto pula, kami turut menyentuh isu kebakaran hutan serta perkembangan konflik di Asia Barat yang memerlukan kesepakatan dan tindakan bersama,” katanya.
Dalam pertemuan itu, Anwar turut memperbaharui jemputan kepada Presiden Indonesia berkenaan untuk mengadakan lawatan ke Malaysia dalam masa terdekat.
Katanya, lawatan berkenaan penting bagi membolehkan beberapa perkara dua hala yang masih tertangguh dibincangkan dan dimuktamadkan.
Anwar tiba di New Delhi pada Jumaat untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 yang berakhir hari ini.
Perdana Menteri akan meneruskan lawatan kerjanya ke Keralam (nama rasmi baharu bagi Kerala), sebuah negeri terletak di Pantai Malabar, selatan India.
Ini merupakan lawatan kedua beliau ke India atas kapasiti sebagai Perdana Menteri, dengan lawatan pertama pada Ogos 2024.
Anwar kemudiannya akan berlepas ke Maldives esok (14 September).





