Kajian persempadanan bahagian pilihan raya tertakluk pindaan Perlembagaan Persekutuan – SPR

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) akan melaksanakan kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya tertakluk kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, SPR mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak pada Jumaat lalu.

Menurut beliau, penambahan kerusi Parlimen itu kelak turut mengambil kira Bahagian Pilihan Raya Tanah Melayu dengan prinsip bahawa nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak turut ditingkatkan daripada kedudukan semasa.

“Dalam konteks persempadanan Bahagian Pilihan Raya di ketiga-tiga unit kajian itu pula, SPR akan melaksanakan kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya tertakluk kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memberitahu, SPR akan memberikan penjelasan lanjut apabila terdapat keputusan rasmi serta perkembangan yang membolehkan perkara itu dimaklumkan kepada umum.

Perdana Menteri baru-baru ini berkata, kerajaan bersetuju meningkatkan nisbah perwakilan Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak melebihi kadar semasa, selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Anwar berkata, keputusan itu turut melibatkan pindaan Perlembagaan bagi membolehkan peningkatan penyertaan Ahli Parlimen dari kedua-dua negeri berkenaan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here