JENAZAH salah seorang mangsa tragedi helikopter Perkhidmatan Doktor Udara yang terhempas di Sarawak pada Selasa lalu, Allahyarham Dr Ainul Baraah Kamaruddin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sri Kedeper di Kota Bharu petang ini.
Jenazah Allahyarham Dr Ainul Baraah, 33, selamat dikebumikan jam 2.20 petang selepas disolatkan di Masjid Al Karomah, Mukim Baung Besar di Pengkalan Chepa, Kota Bharu.
Turut mengiringi jenazah di tanah perkuburan ialah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Suami arwah, Muhammad Faiz Abdul Malik, 37, berterima kasih kepada semua pihak yang mempermudahkan urusan mereka sekeluarga termasuk kerajaan negeri Sarawak.
“Tak ada nak cakap apalah, cuma takdir sudah terjadi tapi Alhamdulillah, perjalanan dipermudahkan, saya dapat sokongan dan doa dari semua kawan-kawan yang kenal dan tak kenal.
“Ini satu rezeki untuk isteri sebab (arwah) mendapat doa dan sokongan dari seluruh rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui, lapor Harian Metro.
Muhammad Faiz berkata, meskipun proses pengecaman identiti serta analisis keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) agak mengambil masa, namun ia lebih cepat daripada jangkaan.
Mengakui hatinya sudah reda dengan pemergian isteri, dia tidak menafikan sesekali datang perasaan sedih dan rindukan arwah yang tidak dapat dibendung.
“Saya boleh kata reda, cuma sekejap-sekejap ia datang (rindu), tak boleh tahan. Sedih bila teringat,” katanya.
Sementara itu, rakan arwah yang ingin dikenali sebagai Dr Siti, 33, berkata, pemergian Dr Ainul yang dikenalinya sejak menuntut di Universiti Hasanuddin, Makassar, Indonesia, sangat dirasai.
Menyifatkan arwah seorang yang sangat baik, sopan, pendiam dan prihatin, Dr Siti berkata, semua rakan amat terkejut dengan kejadian yang menimpanya.
“Kami mengetahui perkembangan dari rakan serta keluarga arwah. Sebaik tahu Ainul akan dikebumikan hari ini, saya segera membeli tiket penerbangan dari Melaka ke Kelantan malam tadi.
“Saya tiba di Kota Bharu pagi tadi dan ada beberapa rakan lain yang sama-sama belajar di Indonesia hadir ke pengebumiannya hari ini,” katanya.





