Lelaki maut tersepit bawah jentolak di Long Seridan

SEORANG lelaki maut selepas dipercayai tersepit di bawah sebuah jentolak dalam kejadian di Long Seridan, Marudi, semalam.

Mangsa, Mancha Lingan, 40, disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan dari Klinik Kesihatan Long Seridan sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi kejadian.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 2.08 petang.

Menurut JBPM Sarawak, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi tiba di lokasi pada jam 9.49 malam selepas menempuh perjalanan kira-kira 261 kilometer.

Katanya, perjalanan mengambil masa panjang berikutan faktor geografi selain keadaan jalan balak yang licin dan berlubang.

“Pasukan turut perlu menyeberangi sungai sebelum meneruskan perjalanan darat kira-kira empat kilometer untuk sampai ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati seorang mangsa tersepit di bawah sebuah jentolak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pasukan bomba kemudian menggunakan peralatan menyelamat termasuk Power Unit Rescue Tools dan dua unit beg udara (airbag) dalam usaha mengeluarkan mangsa.

Bagaimanapun, katanya, usaha awal menghadapi kesukaran berikutan kedudukan mangsa yang tersangkut di bawah jentolak.

“Komander operasi kemudiannya berbincang dengan pihak polis bantuan di lokasi dan operasi diteruskan dengan bantuan seorang mekanik daripada syarikat Shin Yang.

“Mekanik berkenaan membuka dan memotong rantai roda jentolak menggunakan pemotong gas oksigen bagi memudahkan kerja-kerja menyelamat,” katanya.

Mangsa akhirnya berjaya dikeluarkan, namun mengalami kecederaan parah pada bahagian perut dan kaki kanan.

Tambahnya, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Marudi menggunakan kenderaan pacuan empat roda milik syarikat Shin Yang.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here