SERAMAI 14 individu, termasuk seorang kanak-kanak, berjaya diselamatkan selepas terperangkap di tengah Sungai Pertak, Kuala Kubu Bharu akibat kepala air, petang semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.03 petang.
Katanya, lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi dan tiba pada jam 5.21 petang.
“Setibanya di lokasi, komander operasi membuat penilaian dan mendapati 14 mangsa terperangkap di tengah sungai, terdiri daripada 13 orang dewasa dan seorang kanak-kanak.
“Anggota bertugas dibantu anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Batang Kali menggunakan teknik river crossing bagi membawa semua mangsa ke tebing sungai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kesemua mangsa berjaya dibawa ke tebing dalam keadaan selamat.
Katanya, operasi tamat pada jam 7.25 malam selepas keadaan disahkan terkawal.





