GENERASI muda perlu memahami sejarah pembentukan Malaysia dan menghayati perjuangan generasi terdahulu dalam membina negara yang aman dan bersatu, selain menjauhi amalan rasuah yang boleh merosakkan masa depan negara.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata terdapat tiga perkara yang boleh menghancurkan negara iaitu komunisme, komunalisme dan rasuah.
Beliau berkata suatu ketika dahulu komunisme merupakan ancaman besar kepada keselamatan negara menerusi gerakan bersenjata, pembunuhan dan gangguan terhadap keamanan yang boleh menjejaskan kestabilan Malaysia.
“Walaupun ancaman komunisme berjaya diatasi, masyarakat perlu terus berwaspada terhadap perkara yang boleh menggugat perpaduan, termasuk komunalisme…ia boleh menjadi ancaman sekiranya seseorang hanya mengutamakan kaumnya sendiri sehingga memandang rendah atau menindas kaum lain.
“Sebagai seorang pemimpin, hari ini saya faham bahawa memegang sesuatu jawatan adalah sebuah kepercayaan. Ia satu amanah dan kepercayaan yang diberikan kepada kita untuk melakukan kebaikan…jangan sesekali kita rosakkan kepercayaan tersebut,” katanya

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program JIWA@Komuniti Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 di Politeknik Kuching, Kuching, hari ini.
Fahmi berkata pembentukan Malaysia merupakan sesuatu yang unik kerana dibina melalui konsensus dan perundingan, berbeza dengan sesetengah negara yang terpaksa melalui konflik atau perjuangan bersenjata untuk mencapai kemerdekaan.
“Justeru, generasi muda mempunyai peranan penting untuk memastikan sejarah dan nilai yang membentuk negara terus dipelihara supaya Malaysia kekal aman, bersatu dan maju pada masa depan,” katanya





