Anwar tak anggap serius cabaran keluarkan UMNO daripada kerajaan

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak menganggap serius cabaran Umno supaya parti itu dikeluarkan daripada Kerajaan Perpaduan dan pilihan raya diadakan lebih awal, sebaliknya menyifatkannya sebagai sekadar “pandangan” parti berkenaan.

Anwar berkata, Pakatan Harapan (PH) yang dipengerusikannya juga pernah mengemukakan pandangan tegas sebelum ini.

“Jadi, saya memilih jalan sederhana. Bagi saya, yang penting kerajaan kekal stabil, jika tidak negara akan kerugian,” katanya kepada pemberita di Kerala, hari ini.

Beliau turut berkata, tiada masalah baginya berhubung beberapa kenyataan yang dibuat pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang berlangsung hujung minggu lalu kerana perbezaan pandangan adalah perkara biasa.

“Dalam setiap rumah tangga ada masalah,” katanya.

Ditanya sama ada beliau menjangkakan hubungan antara PH dan UMNO akan kembali bertambah baik, Anwar berkata beliau tidak mempunyai masalah dengan UMNO yang merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan ketika ini.

“Saya tidak tahu apa-apa masalah,” katanya.

Pada PAU yang berlangsung mulai Jumaat lalu, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mencabar pihak yang mengkritik parti itu supaya mengeluarkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) daripada Kerajaan Perpaduan, selain menggesa supaya usul undi tidak percaya terhadap Anwar dibawa ke Parlimen.

Zahid turut menyampaikan beberapa sindiran secara tersirat terhadap Anwar yang dirujuknya sebagai “guru”.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri itu kemudian mengulangi pendirian BN untuk kekal dalam pentadbiran sedia ada sehingga tamat tempoh pemerintahannya.

Beliau turut menjelaskan bahawa pandangan yang disuarakan perwakilan daripada pelbagai sayap dan negeri tidak boleh dianggap sebagai pendirian rasmi Umno, sebaliknya perlu dilihat sebagai pandangan peribadi.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here