Angkara cemburu: Isteri maut ditikam suami 13 kali dengan pisau lipat

SEORANG wanita maut selepas ditikam suaminya sebanyak 13 kali menggunakan sebilah pisau lipat dipercayai berpunca daripada cemburu, dalam kejadian di rumah mereka di Taman Tiram, Kulim Hi-Tech di Kulim malam tadi.

Suspek yang berusia 43 tahun menyerah diri di Balai Polis Lunas kira-kira jam 8.40 malam tadi dan memaklumkan dia menikam isterinya di rumah mereka sehingga meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Syamsul Sinring berkata, mangsa, S Sila, 39, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kulim kira-kira jam 9.30 malam.

Beliau berkata, suspek turut menyerahkan sebilah pisau lipat dipercayai digunakan dalam kejadian itu dan polis tidak menolak kemungkinan pembunuhan itu bermotifkan cemburu.

“Tempat kejadian adalah rumah teres setingkat dan kejadian berlaku dalam bilik tidur utama yang didiami suspek, mangsa serta anak mereka berusia tiga tahun.

“Pemeriksaan mendapati terdapat kesan dipercayai darah pada cadar tilam, bantal, kepala katil serta beberapa barangan di atas katil.

“Sepasukan anggota dari Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah tiba di lokasi dan mengambil 11 sampel berkaitan kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Syamsul berkata, kejadian berlaku disebabkan suspek dipercayai menikam mangsa menggunakan pisau lipat ketika pertengkaran berkaitan cemburu dan masalah rumah tangga.

Katanya, suspek mengaku menikam mangsa sebanyak 13 kali iaitu tujuh tikaman di dada, lima di perut dan satu di rusuk kanan menggunakan pisau lipat.

“Selepas kejadian, suspek kemudian mandi dan mengambil anaknya daripada pengasuh sebelum menyerahkan kepada kakaknya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Juru, Pulau Pinang.

“Suspek turut memaklumkan kepada kakaknya dia menikam isterinya sebelum ke Balai Polis Lunas untuk menyerah diri,” katanya.

Syamsul berkata, susulan kejadian itu, suspek ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Kulim di Balai Polis Lunas jam 9 malam tadi.

“Sebilah pisau lipat berukuran kira-kira 20 sentimeter dirampas sebagai barang kes. Hasil temu bual awal dengan jiran mendapati mereka tidak mendengar pertengkaran dipercayai akibat hujan lebat ketika kejadian.

“Suspek berasal dari Parit Buntar, Perak adalah penganggur, namun hasil ujian saringan awal air kencing mendapati dia bebas dadah dan tiada rekod jenayah,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, tambah Syamsul.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here