Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut, 3 individu larikan diri selepas nahas

SEORANG penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas terlibat dalam kemalangan  tiga kenderaan di Jalan Mempaga-Sertik, Bentong, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa, Fazlizal Abdul Samad, 41, yang menunggang motosikal Modenas Versys disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mangsa, Fazlizal Abdul Samad.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, pemandu Honda HR-V berusia 41 tahun yang terlibat dalam kemalangan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, pemandu dan dua penumpang Perodua Myvi dipercayai meninggalkan kenderaan sebelum melarikan diri ke kawasan ladang kelapa sawit berhampiran.

“Polis kini sedang giat menjalankan usaha mengesan dan mengenal pasti pemandu serta dua penumpang Perodua Myvi terbabit,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa dan pemandu Honda HR-V dipercayai dalam perjalanan dari arah Sertik menghala ke Mempaga.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, Perodua Myvi dinaiki tiga individu yang datang dari arah Mempaga menghala ke Sertik terbabas masuk lorong bertentangan sebelum berlaku kemalangan dengan Honda HR-V manakala mangsa yang berada di belakang SUV itu turut dilanggar kereta berkenaan.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke bahu jalan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Zaiham berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Bentong untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, polis telah membuat satu tangkapan bagi membantu siasatan dan permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Bentong hari ini.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan.

“Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here