SEBANYAK 5,091 kilogram minyak masak peket dan 5,000 kilogram cecair disyaki minyak masak disita Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Banting, Pelabuhan Klang, Selangor.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam, berkata operasi yang dijalankan hasil maklumat risikan itu turut membawa kepada sitaan pelbagai barangan dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM211,872.50.
Beliau berkata, serbuan itu melibatkan 12 pegawai penguat kuasa KPDN yang mendapati sebuah premis perniagaan berpagar dipercayai digunakan sebagai lokasi penyimpanan minyak masak.
“Pasukan penguat kuasa telah menyita sebanyak 5,091 kilogram minyak masak peket dalam bungkusan satu kilogram dan 5,000 kilogram cecair yang disyaki minyak masak disimpan di dalam lima tangki IBC,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Turut disita ialah dua buah lori rigid, sebuah forklift, mesin pemotong elektronik, pam elektrik, hos, peralatan berkaitan serta beberapa unit telefon bimbit.
Azman berkata, lima individu turut ditahan bagi membantu siasatan, terdiri daripada tiga lelaki warga tempatan dan dua lelaki warga asing.
Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] kerana memiliki atau berada dalam kawalan barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan.
“Siasatan lanjut turut dijalankan bagi mengenal pasti rantaian bekalan, sumber minyak masak serta penglibatan mana-mana individu atau pihak lain yang mempunyai kaitan dengan kegiatan tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, KPDN memberi amaran tegas kepada mana-mana individu atau syarikat supaya tidak terlibat dalam sebarang kegiatan penyelewengan barang kawalan.
Azman berkata KPDN akan terus mempergiat aktiviti risikan dan penguatkuasaan bagi memastikan bekalan barang kawalan tidak diseleweng serta sampai kepada pengguna melalui saluran yang sah.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti perdagangan yang melanggar undang-undang boleh menyalurkannya kepada KPDN melalui WhatsApp di 019-848 8000, Portal e-Aduan KPDN, Call Centre 1-800-886-800 atau aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.





