SEORANG pengasuh didakwa di Mahkamah Sesyen Georgetown, hari ini, atas pertuduhan mendedahkan seorang bayi lelaki berusia 13 bulan di bawah jagaannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kematian.
Noraidah Khairuddin, 44, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon.
“Saya tak mengaku salah kerana saya tak buat apa-apa kat dia,” katanya, lapor Harian Metro.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap bayi berkenaan didakwa mendedahkan mangsa dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya meninggal dunia.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Desa Mawar, Lintang Kampung Melayu 2, Air Itam, Daerah Timur Laut, jam 2 petang, 8 September lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya M Darrshini mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin selain tertuduh diwajibkan melaporkan diri ke balai polis terdekat pada hari pertama setiap bulan serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Naqieya Zulkernain memohon jumlah jaminan lebih rendah.
Beliau berkata, tertuduh seorang suri rumah yang bergantung sepenuhnya kepada suaminya yang tidak mempunyai pendapatan tetap selain mempunyai tiga anak.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.
Hakim turut menetapkan 16 November ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat.
Sebelum ini, polis dilaporkan menahan seorang pengasuh dan seorang ibu bagi membantu siasatan selepas bayi lelaki terbabit ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan bibir kebiruan di rumah pengasuhnya.





