BEKAS Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli memberitahu, beliau telah mendapat notis dari Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman untuk menghadirkan diri untuk disiasat di bawah Seksyen 500 dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan esok 3 November jam 10 pagi.
Melalui kenyataan dalam Facebook beliau, Rafizi berkaa, Seksyen 500 adalah bersabit tuduhan fitnah jenayah (criminal defamation), sementara Seksyen 505 bersabit tuduhan ucapan yang menimbulkan huru hara dan menggugat ketenteraman awam.
‘’PDRM membuka siasatan ekoran satu laporan polis yang dibuat bertarikh 22 Oktober 2026 .Notis PDRM kepada saya,’’ katanya.
Laporan itu adalah mengenai ucapan beliau di Selayang pada 20 Oktober yang membuat beberapa dakwaan, termasuk berkaitan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R.Ramanan dan isu mafia korporat serta Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain.
‘’Saya menghormati bahawa pegawai-pegawai yang menyiasat menjalankan tugas mereka seperti yang diarahkan. Oleh itu, saya akan kembali ke Kuala Lumpur dan membatalkan acara kempen saya di Melaka untuk hadir memberi keterangan.
‘’Apa yang saya lalui sekarang ini tidak ubah seperti siasatan-siasatan dan dakwaan mahkamah terhadap saya semasa saya mendedahkan skandal 1MDB, Tabung Haji, Felda dan NFC dulu-dulu.
‘’Saya juga pernah disiasat di bawah Seksyen 500 dan Seksyen 505 dalam kes 1MDB dan Tabung Haji. Malah, saya pernah disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dituduh menghina Umno suatu ketika dahulu,’’ katanya.
Bagaimanapun Rafizi berkata, mahkamah membebaskan beliau dalam semua kes tersebut.
‘’Skandal-skandal 1MDB, Tabung Haji dan Felda dibuktikan benar dan telah menjadi modal politik yang membantu PKR dan Pakatan Harapan sejak sedekad yang lalu.
‘’Kini, kerajaan yang diterajui PKR dan PH menggunakan seksyen yang sama di bawah Kanun Keseksaan untuk menakutkan saya setiap kali saya bersuara mengenai mafia korporat dan tuduhan terhadap R Ramanan.
R Ramanan sepatutnya mengambil tindakan sama terhadap saya jika beliau benar-benar mahu membersihkan namanya dari tuduhan beliau telah mengambil rasuah bernilai RM9.5 juta untuk menyelesaikan kes mafia korporat.
Itu pun, saya telah memulakan tindakan saman terhadap beliau kerana keengganannya pergi ke mahkamah mengenai dakwaan saya itu.
Saya percaya masa akan menunjukkan bahawa kami dari BERSAMA telah melaksanakan tanggung jawab membantu masyarakat membanteras mafia korporat tatkala parti-parti lain membisu, walaupun terpaksa berdepan dengan tekanan undang-undang seperti ini.





