Jatuh dalam longkang : Jenazah empat kanak-kanak dikebumikan dalam satu liang

EMPAT jenazah kanak-kanak yang maut dalam insiden terjatuh ke dalam longkang di Kulim, malam tadi, selesai menjalani bedah siasat sebelum dibawa pulang untuk dikebumikan dalam satu liang, hari ini.

Proses bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, bermula jam 9 pagi dan selesai jam 12.30 tengah hari tadi.

Keempat-empat jenazah akan dibawa pulang ke Kulim menggunakan empat van daripada tiga pertubuhan amal di negeri ini untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Sungai Karangan.

Ketua Team Bantuan Sungai Petani, Muhammad Ridzuan Osman berkata, pasukannya bersama Pertubuhan Sukarelawan Van Jenazah Kedah dan Van Jenazah Jerai akan menguruskan proses mandi, kafan serta penghantaran semua jenazah secara percuma.

“Ketika ini, semua jenazah sedang dimandikan di Jabatan Forensik HSB dan akan bergerak ke Kulim selepas semuanya selesai.

“Jenazah dijangka tiba ke Kulim jam 2.30 petang ini untuk dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Masjid Sungai Karangan.

“Terdahulu, jenazah akan dibawa ke surau di sana untuk disembahyangkan,” katanya ketika dihubungi, lapor Harian Metro.

Media sebelum ini melaporkan, empat kanak-kanak berkenaan meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam longkang di Taman Desa Kayangan, Sungai Karangan, Kulim, malam tadi.

Kejadian berlaku ketika mereka cuba mengambil bola yang terjatuh ke dalam longkang sebelum mereka turut terjatuh.

Dua daripada mangsa meninggal dunia di lokasi, manakala dua lagi meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Mangsa ialah Muhamad Aeril Aziz Muhamad Zafis, 12; Muhammad Arif Naufan Abdullah, 8; Muhammad Zafril Arsyad Muhamad Azrin, 12; dan Muhammad Iman Nuruddin Khairol Anuar, 10.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here