SEORANG pekerja khidmat pelanggan sebuah institusi perbankan didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang hari ini kerana memuat naik kandungan berunsur lucah menerusi aplikasi X (Twitter) pada tahun lalu.
Tertuduh, Nater Hasan Ibnu, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Berdasarkan pertuduhan, Nater Hasan didakwa menggunakan akaun X miliknya, @naterhasan, untuk membuat dan memulakan penghantaran sebuah video yang mempunyai kandungan lucah dengan niat mengganggu pihak lain.
Perbuatan itu didakwa berlaku pada 26 Ogos 2024, manakala kandungan berkenaan dikesan dan dilihat pada 12 September 2024 kira-kira jam 11.30 pagi di Menara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) 1, Jalan Impact, Cyber 6, Cyberjaya, dalam daerah Sepang, Selangor.
Pertuduhan terhadap lelaki itu dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang membawa hukuman di bawah Seksyen 233(3) akta sama.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjara maksimum setahun, atau kedua-duanya. Selain itu, denda tambahan RM1,000 sehari boleh dikenakan bagi setiap hari kesalahan tersebut berterusan selepas sabitan.
Kes berkenaan dikendalikan Pegawai Pendakwa MCMC, Siti Hajar Sulaiman.
Hakim Ahmad Fuad membenarkan Nater Hasan dibebaskan dengan jaminan RM5,000 bersama seorang penjamin dan menetapkan 29 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.




