SURUHANJAYA Koperasi Malaysia (SKM) melantik Mohd Marzuki Yasoa’ sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu agensi itu berkuat kuasa semalam (14 September 2026).
SKM dalam kenyataan memaklumkan, pelantikan tersebut dilihat sebagai langkah memperkukuh kepimpinan dan kesinambungan pentadbiran suruhanjaya itu dalam usaha memperkasa sektor koperasi sebagai antara penyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara.
Katanya, Mohd Marzuki memiliki pengalaman lebih 26 tahun dalam gerakan koperasi dan akan bertanggungjawab mengetuai pengurusan serta operasi harian SKM, termasuk memastikan dasar, strategi dan program pembangunan koperasi dilaksanakan dengan berkesan.
“Kepimpinannya dijangka memberi tumpuan kepada pengukuhan tadbir urus, peningkatan keupayaan koperasi, pengembangan aktiviti perniagaan serta penerapan inovasi dan pendigitalan bagi meningkatkan daya saing sektor berkenaan,” kata kenyataan SKM hari ini.
Dalam masa sama, SKM akan meneruskan kerjasama dengan Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), agensi kerajaan serta kerajaan negeri bagi memastikan pembangunan gerakan koperasi lebih tersusun dan berkesan.
Menurut SKM, pelantikan itu dibuat ketika sektor koperasi berdepan perubahan landskap ekonomi dan memerlukan pendekatan yang lebih strategik, inovatif serta responsif terhadap keperluan anggota dan perkembangan semasa.





