PENGERUSI DAP Gobind Singh Deo menggesa Peguam Negara Tan Sri Dusuki Mokhtar menjelaskan keputusan tidak meneruskan empat tuduhan terhadap bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkait Bukhary Equity Sdn Bhd.
Gobind yang juga seorang peguam menegaskan, Dusuki wajar memberikan penjelasan terperinci berhubung permohonan perintah melepas tanpa membebaskan (DNAA) itu, yang akhirnya membawa kepada pembebasan Muhyiddin daripada keempat-empat tuduhan berkenaan hari ini.
Menteri Digital itu berkata, ketelusan amat penting memandangkan perbicaraan kes berprofil tinggi yang mendapat tumpuan awam tersebut sudah hampir ke penghujungnya.
“Keyakinan terhadap Peguam Negara serta integriti sistem keadilan jenayah secara keseluruhan akan terjejas teruk jika pendakwaan aktif berprofil tinggi dihentikan di pertengahan jalan tanpa justifikasi jelas dan penerangan penuh kepada masyarakat.
“Apabila tuduhan jenayah dikemukakan terhadap sesiapa pun, jangkaan umumnya adalah pihak pendakwaan telah meneliti segala keterangan dan mempunyai asas kukuh untuk meneruskan prosiding.
“Orang ramai berhak mengetahui faktor material khusus atau pertimbangan undang-undang yang telah berubah sehingga mencetuskan keputusan menghentikan proses itu pada peringkat ini,” katanya menerusi kenyataan.
Terdahulu hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memaklumkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan empat tuduhan terhadap Muhyiddin selepas meneliti keseluruhan keadaan kes.
Beliau memohon DNAA mengikut Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah.
Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi Noor Ruwena Nurdin melepas dan membebaskan Muhyiddin selepas pihak pendakwaan tidak mengemukakan alasan khusus bagi permohonan DNAA tersebut.
Muhyiddin sebelum ini berdepan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM200 juta yang didakwa diterima daripada Bukhary Equity, serta satu tuduhan salah guna kuasa berkaitan dakwaan meminta suapan dalam jumlah berkenaan.
Presiden Bersatu itu masih berdepan tiga lagi tuduhan salah guna kuasa yang dikaitkan dengan program Jana Wibawa.
Bagi kes tersebut, Muhyiddin didakwa menyalahgunakan kedudukannya untuk meminta rasuah sebanyak RM25.3 juta daripada Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd, KCJ Engineering Sdn Bhd dan Pengarah Urusannya, Azman Yusoff.





