150 warga Indonesia lakukan kesalahan imigresen dihantar pulang

SEBANYAK 150 warga Indonesia dihantar pulang ke negara asal melalui Terminal Feri Antarabangsa Pasir Gudang semalam, dengan majoriti daripada mereka melakukan kesalahan imigresen.

Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru dalam kenyataan memaklumkan, kumpulan itu terdiri daripada 100 lelaki, 48 wanita, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun.

“Antara kesalahan imigresen dilakukan ialah tinggal melebihi tempoh dibenarkan dan bekerja tanpa permit sah, manakala proses penghantaran pulang itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM),” menurut kenyataan itu.

Pegawai Fungsi Konsular KJRI Johor Bahru, Leny Marliani dalam kenyataan sama berkata, penghantaran pulang bukan sekadar proses pentadbiran imigresen, sebaliknya turut menjadi langkah pemulihan dan penyepaduan semula mereka dalam masyarakat selepas kembali ke tempat asal.

Sejak Januari hingga September 2026, KJRI Johor Bahru telah membantu proses penghantaran pulang 4,166 warga Indonesia dari kawasan selatan Semenanjung Malaysia.

Sementara itu, JIM dalam kenyataan memaklumkan, 150 individu berkenaan adalah tahanan dari enam Depot Imigresen, dan proses penghantaran pulang diselaraskan Bahagian Pengurusan Depot dan Tahanan, ibu pejabat Imigresen Putrajaya.

JIM turut memaklumkan, proses penghantaran pulang itu dilaksanakan dengan kerjasama pihak Indonesia, khususnya bagi pengesahan identiti dan penyediaan dokumentasi tahanan, sekali gus memastikan penghantaran pulang dapat dilakukan secara teratur, selamat dan mengikut prosedur ditetapkan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here