YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-93 kepada seluruh warga pasukan berkenaan.
Seri Paduka Baginda yang juga Pemerintah Tertinggi ATM menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas segala khidmat bakti dan pengorbanan pegawai serta anggota ATM dalam mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara.
Seri Paduka Baginda turut mendoakan agar seluruh warga ATM sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik, kekuatan serta semangat juang yang tinggi dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab demi tanah air.
Dalam pada itu, Sultan Ibrahim turut menzahirkan penghargaan kepada pesara ATM atas segala sumbangan, jasa dan pengorbanan yang dicurahkan sepanjang tempoh perkhidmatan mereka dalam pasukan.
“Al-Fatihah buat mereka yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya.
“Semoga roh mereka dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman serta beramal soleh,” titah Seri Paduka Baginda menerusi hantaran di Facebook hari ini.





