YANG di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini bertitah bahawa mana-mana individu yang tidak mahu mengikut prinsip Rukun Negara, tidak layak digelar sebagai warganegara Malaysia.
Seri Paduka Baginda bertitah, Rukun Negara yang diperkenalkan pada 31 Ogos 1970, merupakan aku janji dan ikrar setiap warga Malaysia bagi membina semula perpaduan kaum serta menjamin keharmonian masyarakat.
“Oleh itu, saya menyeru kepada semua pihak, agar menghayati setiap prinsip Rukun Negara dan menjadikannya amalan dan garis panduan hidup sebagai rakyat Malaysia.
“Oleh yang demikian, jika ada mana-mana rakyat Malaysia yang tidak mahu mengikut prinsip Rukun Negara tersebut, saya menasihati agar dia tidak layak digelar sebagai warganegara Malaysia,” titah Sultan Ibrahim.
Seri Paduka Baginda bertitah pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2026 sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini.


