POLIS masih mengesan tiga lelaki berusia antara 20 hingga 30 tahun yang melarikan diri selepas terbabit dalam kemalangan maut membabitkan tiga kenderaan di Jalan Mempaga-Sertik, Kuantan, 14 September lalu.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob, berkata siasatan awal mendapati ketiga-tiga lelaki berkenaan dipercayai terbabit dalam kes curi kenderaan.
“Setakat ini, kita menahan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an pada 15 September lalu, yang menyewakan Perodua Myvi kepada tiga lelaki terbabit.
“Ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu positif dadah dan setakat ini maklumat berkaitan tiga lelaki diburu sedang dikenal pasti.
“Polis percaya mereka melarikan diri kerana terbabit jenayah,” katanya pada sidang media selepas Program Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, hari ini, lapor BH.
Dalam nahas kira-kira jam 7.30 pagi itu, seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi, Fazlizal Abdul Samad, 41, maut selepas terbabit kemalangan membabitkan tiga kenderaan.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Pemandu Honda HR-V berusia 41 tahun tidak mengalami kecederaan, manakala pemandu dan dua penumpang Perodua Myvi dipercayai meninggalkan kenderaan berkenaan sebelum melarikan diri ke kawasan ladang kelapa sawit berhampiran.





