SEORANG remaja lelaki berusia 17 tahun direman tujuh hari selepas disyaki menikam adik iparnya tiga kali dalam kejadian di Taman Desa Sri Banang, Minyak Beku, Batu Pahat, semalam.
Perintah reman terhadap suspek yang bekerja sebagai pembantu kedai barangan terpakai itu dibenarkan Majistret Mustaqim Sukarno bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, suspek dipercayai menikam mangsa berusia 18 tahun pada bahagian dada dan belakang menggunakan pisau sepanjang 14.5 sentimeter.
Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian belakang dan paru-paru sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) oleh ibu mentuanya.
Siasatan awal mendapati sehari sebelum kejadian, mangsa dan isteri yang juga adik suspek, berusia 14 tahun, bertengkar kira-kira jam 5 petang dan kejadian itu turut disaksikan suspek.
Suspek kemudian dikatakan pulang ke Rengit pada malam berkenaan sebelum kembali ke rumah mangsa tanpa disedari ahli keluarga lain.
Sebaik tiba, suspek dipercayai menendang mangsa yang sedang tidur sebelum menikamnya selepas mangsa terjaga.
Kejadian itu tidak disedari ahli keluarga lain kerana mereka semua sedang tidur.
Suspek kemudian melarikan diri sebelum ditahan polis di sebuah kedai barangan terpakai kira-kira jam 12.30 tengah hari bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, mangsa masih menerima rawatan di HSNI dan keadaannya dilaporkan stabil.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata atau benda berbahaya,” katanya, lapor Harian Metro.





