SEORANG lelaki warga China direman empat hari bagi membantu siasatan selepas disyaki cuba mencuri dompet milik seorang penumpang ketika dalam penerbangan dari Jakarta, Indonesia ke Pulau Pinang.
Majistret Chia Huey Ting membenarkan suspek berusia 55 tahun itu direman bermula hari ini.
Suspek sebelum ini ditahan polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) selepas seorang lelaki warga Indonesia berusia 36 tahun membuat laporan berhubung kejadian berkenaan.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab, berkata mangsa melihat suspek mengambil beg miliknya dari ruang simpanan di bahagian atas tempat duduk penumpang sebelum membuka beg berkenaan dan mengambil dompet.
“Mangsa sempat merakam kejadian tersebut sebelum memaklumkannya kepada kru pesawat dan suspek kemudian ditahan bagi membantu siasatan.
“Semua barangan milik mangsa berjaya diperoleh semula dan tiada kehilangan atau kerugian dilaporkan,” katanya dalam kenyataan sebelum ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 serta Seksyen 511 Kanun Keseksaan.





