Pegawai SPRM tamat latihan berprestij FBI National Academy

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus memperkukuh komitmen berterusan dalam memperkasa pembangunan profesional pegawainya menerusi penyertaan dalam program FBI National Academy Session 299 di Quantico, Virginia, Amerika Syarikat.

Pegawai SPRM dari Bahagian Penyiasatan Tata Kelola, Irawan Khlir menjadi antara 265 pegawai penguat kuasa yang berjaya menamatkan program latihan kepimpinan penguatkuasaan undang-undang berprestij dan diiktiraf di peringkat antarabangsa itu baru-baru ini.

Menurut SPRM, program intensif selama 10 minggu berkenaan memberi penekanan khusus kepada pelbagai aspek penting termasuk kepimpinan, komunikasi, kecergasan fizikal, serta pengurusan penguatkuasaan undang-undang.

Katanya, peserta program dipilih berdasarkan pengalaman profesional, rekod perkhidmatan, serta tanggungjawab kepimpinan dalam organisasi masing-masing.

“Penyertaan kali ini turut dimantapkan lagi dengan kehadiran 29 pegawai penguat kuasa antarabangsa dari 28 buah negara, sekali gus menyediakan platform terbaik bagi perkongsian pengetahuan, pengalaman, dan amalan terbaik dalam kalangan pemimpin penguatkuasaan dari seluruh dunia,” kata kenyataan SPRM hari ini.

Menurut suruhanjaya itu, Irawan yang mempunyai kira-kira 20 tahun pengalaman bersama SPRM memiliki pengetahuan luas dalam bidang penyiasatan dan penguatkuasaan antirasuah, di samping pernah melaksanakan pelbagai penugasan operasi sepanjang perkhidmatannya.

Katanya, penyertaan beliau dalam program berprestij ini mencerminkan komitmen berterusan SPRM untuk memastikan warga kerjanya sentiasa diperkasa dengan pengetahuan, kemahiran, dan perspektif terkini selaras dengan tuntutan profesionalisme global.

Selain itu, inisiatif ini turut memperkukuh jaringan kerjasama SPRM dengan agensi penguatkuasaan antarabangsa melalui perkongsian amalan terbaik dalam menangani cabaran jenayah dan penguatkuasaan yang semakin kompleks.

“Sepanjang berada di Quantico, Irawan telah menjalani latihan akademik dan fizikal yang ketat di samping membina rangkaian profesional bersama pemimpin penguatkuasaan undang-undang dari Amerika Syarikat dan negara-negara lain,” katanya.

Pengalaman berharga tersebut dijangka membawa dimensi baharu kepada agensi terutamanya dalam aspek kepimpinan, kesejahteraan pegawai, hubungan komuniti, serta strategi mendepani cabaran masa hadapan, tambah SPRM.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here