PH tegaskan tiada sesiapa atasi undang-undang, sokong nasihat kepada Lembaga Pengampunan

MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH) hari ini menyuarakan pendirian tegas berdiri teguh di belakang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta menyokong nasihat daripada Peguam Negara dan Menteri Wilayah kepada Lembaga Pengampunan.

Dalam satu kenyataan, Majlis Presiden PH menegaskan bahawa tiada mana-mana individu yang berada di atas undang-undang negara.

“Sesiapa sahaja yang telah disabitkan dengan kesalahan hendaklah menjalani hukuman mengikut lunas undang-undang seperti mana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Pada masa yang sama, Majlis Presiden PH turut membulatkan azam untuk meneruskan usaha membanteras amalan rasuah, mengangkat agenda reformasi, dan membersihkan negara daripada sebarang unsur penyelewengan,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Mesyuarat Majlis Presiden PH yang dipengerusikan oleh Anwar yang merupakan Pengerusi PH selepas berlangsung hampir dua jam di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya malam ini.

Sementara itu, Mesyuarat Majlis Presiden PH yang dipengerusikan Perdana Menteri berakhir selepas hampir dua jam berlangsung di Bangunan Perdana Putra, lewat petang tadi.

Mesyuarat berkenaan bermula kira-kira jam 5.30 petang sebelum beberapa kenderaan yang membawa pimpinan PH dilihat meninggalkan lokasi seawal jam 7 malam, lapor Sinar Harian.

Anwar pula dilihat meninggalkan Bangunan Perdana Putra jam 7.30 malam.

Difahamkan mesyuarat berkenaan dihadiri Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Bagaimanapun usaha pemberita untuk mendapatkan maklumat lanjut tidak berhasil apabila kenderaan yang membawa kesemua menteri berkenaan tidak memberhentikan kenderaan.

Mesyuarat khas ini diadakan berikutan cadangan Anthony sejurus Perdana Menteri pulang daripada lawatan rasmi ke luar negara bagi meneliti perkembangan dan kenyataan politik semasa yang dinilai boleh menjejaskan kestabilan politik negara.

Antara isu yang dijangka turut disentuh merangkumi kedudukan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan susulan kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 minggu lalu yang mencabar pihak terbabit membubarkan Parlimen atau mengusulkan undi tidak percaya di Dewan Rakyat.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here