POLIS menahan dua lelaki dipercayai memukul petugas Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang sedang bertugas membaca meter elektrik di Taman Bukit Segar, Cheras pagi semalam.
Kedua-dua suspek warga tempatan berusia 28 dan 35 tahun itu ditahan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di Batu 9 Cheras pada jam 1.01 petang ini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, tangkapan dibuat susulan satu laporan polis yang diterima pada 4.05 petang semalam berhubung kejadian di Taman Bukit Segar, Cheras pada 10.40 pagi hari sama.
“Siasatan awal mendapati ketika mangsa sedang membaca meter elektrik, pengadu yang juga rakan sekerjanya kebetulan ternampak dan memanggil nama mangsa.
“Bagaimanapun, tindakan pengadu memanggil rakannya itu didakwa menyebabkan bising, sebelum berlaku perselisihan faham dan tercetusnya pergaduhan dengan dua suspek terbabit.
“Akibat insiden itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala, muka dan tangan serta patah gigi, sebelum mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Naazron berkata, polis turut merampas barang kes yang digunakan suspek untuk mencederakan mangsa.
“Semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah dan narkotik. Ujian saringan air kencing mereka negatif dadah,” katanya yang memaklumkan kes ini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.
Beliau menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian dan mereka yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Mejar Norhafdzeli Ismail di talian 010-375 5508 atau balai polis berhampiran.





