KPDN sedang muktamadkan RUU e-dagang baharu – Armizan

RANG Undang-Undang (RUU) e-dagang baharu bagi menggantikan Akta Perdagangan Elektronik sedia ada sedang dimuktamadkan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali.

Katanya, proses itu masih memerlukan libat urus dengan pelbagai pihak berikutan sektor e-dagang berkembang pesat dan mempunyai skop yang luas.

“Perkara yang berkaitan dengan e-dagang ini cukup komprehensif, meluas dan memerlukan banyak sesi libat urus dengan pihak berkepentingan kerana ia merupakan antara segmen yang berkembang pesat. Jadi, kita kena betul-betul teliti.

“Sekarang ini kita tengah bincangkan di peringkat kementerian-kementerian yang terlibat,” katanya lapor Buletin TV3.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Festival Pengguna (CONFEST) 2026 di Stadium Negeri Pulau Pinang, di Batu Kawan hari ini.

Armizan berkata, keputusan dasar Kabinet adalah untuk memansuhkan Akta Perdagangan Elektronik 2006 dan menggantikannya dengan akta baharu bagi menyediakan kerangka kawal selia khusus, termasuk aspek perlindungan pengguna.

Katanya, dua jawatankuasa sudah dibentuk bagi mempercepat proses itu, selain penyelarasan bidang kuasa dengan Kementerian Komunikasi, Kementerian Digital dan Jabatan Peguam Negara.

“Penyelarasan di peringkat kementerian dan libat urus yang lebih menyeluruh dengan platform, penyedia platform e-dagang serta industri perlu dilakukan.

“Kita juga perlu melihat penilaian kesan peraturan bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) sebelum kita boleh membawa Memorandum Jemaah Menteri (MJM) kepada Kabinet,” katanya.

Dalam pada itu, Armizan berkata, kerajaan turut mempertimbangkan pengenalan sistem pelesenan kepada platform e-dagang, susulan perkembangan kemasukan barangan dari luar negara serta keperluan memperkukuh keselamatan pengguna dan kelangsungan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

“Pada masa yang sama, kita juga perlu seimbangkan supaya ia tidak mengekang perkembangan e-dagang yang sebenarnya memberi banyak kemudahan dan pilihan kepada pengguna. Jadi, kita perlu seimbangkan pelbagai aspek,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here