SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan media terus bergerak seiring dalam memperkukuh usaha membanteras rasuah, khususnya dengan memastikan setiap maklumat berkaitan isu disampaikan kepada masyarakat secara sahih, tepat dan bertanggungjawab.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, sepanjang empat bulan menerajui agensi itu, beliau melihat hubungan antara SPRM dan media berada pada landasan yang baik dan berharap kerjasama berkenaan terus diperkukuhkan.

“Media dan SPRM ini berpisah tiada. Saya berharap hubungan baik yang terjalin ini akan terus diperkukuhkan dan berpanjangan,” katanya ketika merasmikan Program Menembak SPRM Bersama Media 2026 di Maktab Penjara Malaysia semalam.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (Japen), Erwin Khairul Ahmad; Ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM, Kamaruddin Mape; Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa Media Prima Berhad, Datuk Farrah Naz Abd Karim serta Pengarah Kanan dan Pengarah-pengarah Bahagian SPRM.
Abd Halim berkata, program berkenaan turut memberi peluang kepada rakan media merasai sendiri aspek ketelitian, disiplin, fokus, kawalan emosi dan ketepatan yang diperlukan pegawai SPRM ketika melaksanakan tugasan.
“Ketika berada di lapangan, pegawai SPRM perlu sentiasa tenang, berdisiplin dan membuat pertimbangan yang tepat.
“Setiap tindakan mempunyai implikasi dan perlu dilaksanakan berdasarkan undang-undang, prosedur serta prinsip integriti,” katanya.
Dalam pada itu, Abd Halim berkata, pengalaman yang diperoleh melalui program itu diharap dapat memberikan perspektif lebih dekat kepada pengamal media mengenai skop tugas serta cabaran yang dihadapi warga SPRM.
“Saya berharap program seperti ini tidak terhenti setakat hari ini. Kita boleh fikirkan program-program lain bersama media supaya hubungan ini terus diperkukuhkan,” katanya.
Program berkenaan turut dianjurkan sebagai sebahagian daripada pengisian sempena Sambutan Ulang Tahun SPRM Ke-59 yang bakal disambut pada 1 Oktober ini.
Dalam acara yang menguji ketepatan dan fokus peserta itu, rakan media diberikan peluang mengasah kemahiran menerusi kategori individu lelaki dan wanita.
Bagi kategori lelaki, Mohd Afzal Idrose dari Channel News Asia (CNA) muncul juara, diikuti Muhammad Afham Ramli dari Sinar Harian di tempat kedua dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor dari Harian Metro di tempat ketiga.
Justin Zack Yusof dari The Star dan Muhammad Najmi Zulkefle dari Malaysia Tribune masing-masing menduduki tempat keempat dan kelima.
Sementara itu, Nurayuni Johari dari Malaysia Gazette muncul juara kategori Ketepatan Individu Wanita, manakala Nurul Yasmin Jasri dari Astro Awani dan Lon Kar Mun dari China Press masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
Tempat keempat dan kelima pula masing-masing disandang Nuraina Hanis Abd Halim dari Utusan Malaysia dan Wong Ci En dari China Press.





