LEBIH 1,000 penduduk di Kampung Tebat Kering dan Kampung Bukit Temensu di Kuala Pilah kini menikmati kemudahan yang lebih selesa dan selamat susulan siapnya dua projek pembangunan komuniti di bawah Inisiatif Kampung Angkat MADANI Kementerian Komunikasi.
Projek berkenaan yang merangkumi pembinaan semula Surau Kampung Tebat Kering serta naik taraf Balai Raya Kampung Bukit Temensu/Kampung Tebat Kering telah dirasmikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil hari ini.
Pelaksanaan projek ini bertujuan untuk menyediakan prasarana yang kondusif bagi membolehkan penduduk menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan keagamaan.
“Kedua-dua projek tersebut dapat memanfaatkan seramai hampir 1,000 orang penduduk setempat untuk melaksanakan program dan aktiviti kemasyarakatan, keagamaan dan lain-lain dalam keadaan yang lebih baik, selesa serta selamat, di samping mengeratkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat,” menurut kenyataan Kementerian Komunikasi hari ini.
Mengenai garis masa pembangunan, kerja pembinaan semula surau berkenaan bermula selepas penyerahan tapak pada 27 November 2025 dan siap sepenuhnya pada 14 September 2026.
Manakala bagi projek menaik taraf balai raya pula, ia dimulakan pada 17 Oktober 2025 dan berjaya disiapkan pada 26 Disember 2025.
Kejayaan projek ini merupakan hasil kolaborasi dan kerjasama erat pelbagai agensi kerajaan serta pihak kontraktor.
“Kementerian Komunikasi merakamkan penghargaan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah, Pejabat Penerangan Daerah Kuala Pilah, Majlis Daerah Kuala Pilah, Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Sembilan serta pihak kontraktor atas kerjasama erat sepanjang pelaksanaan projek,” tambah kenyataan itu.
Majlis perasmian tersebut turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah dan Pegawai Daerah Kuala Pilah merangkap Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Pilah, Nawal Mohamed Amin bersama barisan pengurusan tertinggi kementerian dan daerah.





