KEJAYAAN Sekolah Menengah Agama (SMA) Nahdhah Hasanah, Melele di Kodiang muncul sekolah terbaik di Kedah dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama (STA) 2026 mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar merakamkan ucapan tahniah kepada warga sekolah berkenaan atas pencapaian membanggakan itu, selain mengiktiraf sumbangan guru dan pengorbanan ibu bapa dalam membentuk kejayaan pelajar.
“Tumpang gembira dengan pencapaian hebat anak-anak SMA Nahdhah Hasanah. Pastinya kejayaan ini ditunjangi didikan luar biasa guru-guru dan pengorbanan ibu bapa. Moga terus cemerlang, insya-Allah,” katanya dalam hantaran itu.
Kecemerlangan sekolah itu turut dizahirkan menerusi keputusan peperiksaan STA 2026 apabila memperoleh Gred Purata Sekolah (GPS) 2.79, selain mencatatkan kelulusan 100 peratus dalam kalangan pelajarnya.
SMA Nahdhah Hasanah yang mula beroperasi sejak 1946 mempunyai sejarah tersendiri dalam perkembangan pendidikan agama di negeri Kedah.
Sekolah berkenaan pernah menerima kunjungan Anwar pada 17 Jun 2023 sempena sambutan Jubli Intan institusi pendidikan itu.





