PAS menyifatkan tindakan DAP membantah keputusan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai satu bentuk lakonan politik semata-mata.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mempertikaikan tindakan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang melepaskan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan sedangkan menteri dan timbalan menteri lain daripada parti itu masih kekal berada dalam pentadbiran kerajaan.
Beliau mempersoalkan kerelevanan tindakan tersebut jika ia tidak disertai oleh seluruh pimpinan DAP yang berada dalam Kabinet.
“Kalau seluruh DAP masih kekal dalam kerajaan, apa signifikannya selain satu lakonan politik untuk menunjukkan kononnya mereka membantah?,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook beliau.
Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli turut membangkitkan senario sekiranya Perdana Menteri menolak peletakan jawatan berkenaan dan meminta Anthony menarik semula keputusan itu.
Isu ini timbul selepas Anthony mengumumkan peletakan jawatannya susulan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, dengan menjelaskan bahawa keputusan itu hanya melibatkan dirinya secara individu manakala wakil DAP yang lain kekal berkhidmat dalam kerajaan.
Dalam hantaran sama, Ahmad Fadhli turut menyelar desakan Wanita DAP agar minit mesyuarat Lembaga Pengampunan didedahkan. Beliau menyifatkan tuntutan itu agak pelik memandangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh yang juga daripada DAP merupakan anggota lembaga berkenaan.
Beliau merujuk kembali situasi pada tahun 2018 apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim diberikan pengampunan penuh, di mana tiada desakan seumpama itu dibuat untuk membuka minit mesyuarat kepada umum.
Tegasnya, kuasa pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan sepatutnya dihormati secara konsisten dan bukannya dipersoalkan mengikut kepentingannya dalam persekitaran politik semasa.
“Janganlah banyak sangat berlakon, nanti salah baca skrip. Skrip tulis ABCDEFGHI nanti dibaca ABCDEFGLC. Rakyat bukan susah sangat nak faham helah politik begini,” tambah beliau.





