KEPUTUSAN mengenai pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah tertakluk sepenuhnya di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan yang merupakan kuasa mutlak serta hak Yang di-Pertuan Agong.
Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pendirian kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) berhubung isu tersebut telah pun dijelaskan secara rasmi menerusi kenyataan terdahulu.
“Pada pihak kerajaan, PH sendiri telah mengeluarkan kenyataan minggu lepas. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh yang bertanggungjawab mewakili kerajaan dalam Lembaga Pengampunan juga telah memberikan kenyataan.
“Keputusan memberikan pengampunan bersyarat itu adalah keputusan Tuanku,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Kampung Angkat MADANI Kementerian Komunikasi di Surau Kampung Tebat Kering, Kuala Pilah hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah; Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Pilah, Nawal Mohamed Amin serta barisan pengurusan tertinggi kementerian dan daerah.
Pada Jumaat lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Menurut Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, perintah tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya di Istana Negara.
Sementara itu, mengulas mengenai impak landskap politik semasa, Fahmi tidak menolak kemungkinan berlakunya penjajaran baharu memandangkan persekitaran politik di setiap negeri mempunyai keunikan dan dinamika tersendiri.
Menurut beliau, perkembangan politik mutakhir tidak seharusnya dilihat hanya dalam satu acuan yang tegar semata-mata.
“Kerana kita tahu bahawa setiap negeri mempunyai keunikan politik masing-masing. Jadi tak mustahil dinamika itu juga menjelma bagi pihak PH,” jelasnya.





