Anwar tegaskan keputusan muktamad pengampunan Najib di tangan Agong

DATUK Seri Anwar Ibrahim menegaskan keputusan muktamad dalam soal pengampunan terletak pada raja negeri atau Yang di-Pertuan Agong.

Perdana Menteri berkata, setiap banduan mempunyai hak untuk mengemukakan permohonan pengampunan termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Apa yang saya katakan ialah setiap banduan berhak mengemukakan permohonan. Saya tetap mempertahankan hak itu.

“Sesiapa pun, termasuk Datuk Seri Najib, berhak mengemukakan permohonan untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan,” katanya ketika berucap pada Majlis Hi-Tea Reunion Perintis Reformis di Shah Alam hari ini, lapor Buletin TV3.

Anwar memberitahu, dalam proses berkenaan, terdapat nasihat daripada Perdana Menteri dan Peguam Negara yang perlu diberikan pertimbangan.

Namun, beliau menegaskan nasihat yang diberikannya tidak menjurus kepada keputusan pengampunan berkenaan.

“Adakah nasihat saya menjurus kepada keputusan itu? Tidak. Saya tetap mengingatkan tentang kes-kes yang masih berjalan.

“Saya tetap mengingatkan bahawa dendanya terlalu besar. Saya juga tetap mengingatkan tentang kesannya terhadap keyakinan rakyat kepada sistem serta pandangan masyarakat antarabangsa. Semua itu harus diberikan perhatian,” katanya.

Menurut Anwar, meskipun nasihat Perdana Menteri perlu diambil kira dalam banyak perkara, dalam soal pengampunan beliau berpegang bahawa ia merupakan kuasa atau budi bicara raja negeri atau Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, apabila keputusan dibuat, kerajaan akur terhadapnya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan keputusan pengampunan itu tidak akan menyebabkan kerajaan berundur daripada kes-kes lain yang masih berjalan.

“Kita tidak mengalah dan tidak akan mengalah. Kita akan meneruskan kes-kes yang masih berjalan di mahkamah. Kes 1MDB masih diteruskan. Kes-kes sivil juga masih diteruskan.” katanya.

Pada Jumaat lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib yang membolehkannya menjalani baki hukuman bagi kes SRC International secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.

Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya di Istana Negara.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here