PM akan jumpa Anthony Loke bincang peletakan jawatan

DATUK Seri Anwar Ibrahim akan bertemu Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke bagi membincangkan hasratnya untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan.

Perdana Menteri berkata, Anthony sudah memaklumkan perkara itu kepadanya, namun mereka belum berkesempatan untuk membincangkannya dengan lebih lanjut.

“Dia sudah maklumkan kepada saya, tetapi saya belum sempat bincang apa-apa lagi. Saya perlu dengar pandangan dia.

“Saya faham kerana dia seorang yang berprinsip dan secara konsisten bantah peraturan yang boleh memberi gambaran seolah kita lemah atau longgar terhadap rasuah, terutama apabila kita ambil tindakan yang banyak yang lain, termasuk mereka yang terlibat dalam rasuah kecil.

“Jadi, lebih baik saya jumpa dia, dengar pandangan dia dan kemudian buat keputusan,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Hi-Tea Reunion Perintis Reformis di Shah Alam hari ini, lapor Buletin TV3.

Ditanya bila pertemuan itu akan diadakan, Anwar berkata, beliau akan bertemu Loke selepas pemimpin DAP itu pulang dari Shanghai, China.

Anthony semalam mengumumkan hasrat meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan sebagai respons DAP terhadap pengampunan bersyarat yang diberikan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Peletakan jawatan itu hanya melibatkan Anthony, manakala menteri dan timbalan menteri lain daripada DAP kekal dalam kerajaan bagi memastikan kestabilan politik terus terjamin.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada Jumaat memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib, yang membolehkannya menjalani baki hukuman bagi kes SRC International secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here