POLIS sedang mengesan pemandu sebuah kereta jenis Proton Wira yang memandu secara berbahaya sehingga mengakibatkan kemalangan di Kilometer 278.3 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara di Nilai pagi tadi.
Insiden berkenaan menjadi tular menerusi satu rakaman video berdurasi 60 saat di media sosial yang memaparkan Proton Wira terbabit dipandu pada kelajuan tinggi sebelum menghimpit sebuah Perodua Axia lalu melarikan diri dari tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya memaklumkan, kejadian berlaku sekitar jam 9.10 pagi sewaktu Perodua Axia yang dipandu seorang lelaki berusia lingkungan 40-an dalam perjalanan dari Seremban menuju ke Kuala Lumpur.
“Berdasarkan rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang diperoleh, Proton Wira itu dipercayai dipandu pada kelajuan tinggi secara melulu dan berbahaya sehingga melanggar Perodua Axia tersebut.
“Akibat pelanggaran itu, Perodua Axia berkenaan berpusing sebelum terbabas ke bahu jalan. Bagaimanapun, pemandunya bertuah kerana tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Johari, pihaknya mengesan video tular tersebut pada jam 3.30 petang di laman Facebook dan kini menjalankan siasatan lanjut di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian atau memiliki rakaman dashcam berkaitan diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Nilai di talian 06-790 4389 atau pegawai penyiasat trafik, Inspektor Fadzilah Ahmad di talian 016-289 5801 bagi membantu siasatan.





