PAKATAN Harapan (PH) secara rasmi menyerahkan mandat penuh kepada Pengarah Pilihan Rayanya, Datuk Seri Amirudin Shari untuk mengendalikan sebarang rundingan serta perbincangan berkaitan kerjasama politik, termasuk potensi membabitkan Bersatu.
Pengerusi PH merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan perkara tersebut dan menjelaskan bahawa urusan terbabit kini di bawah pengendalian Amirudin untuk tindakan susulan.
“(Perbincangan kerjasama termasuk jika dengan Bersatu) yang itu, saudara Amirudin akan bincang,” kata beliau ringkas kepada media selepas menghadiri Majlis Hi-Tea Reunion Perintis Reformis di Shah Alam hari ini.
Kenyataan berkenaan hadir susulan bayangan yang diberikan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak menolak kemungkinan menjalinkan kerjasama baharu dengan pelbagai gabungan termasuk PH.
Muhyiddin turut mengesahkan beberapa pusingan awal perbincangan bersama parti-parti politik telah mula dijalankan bagi meneliti strategi merintis penjajaran menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Perkembangan ini selari dengan pandangan Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil yang sebelum ini memaklumkan bahawa dinamika politik tanah air sentiasa terbuka kepada pelbagai bentuk penjajaran semula mengikut acuan dan keunikan landskap politik negeri masing-masing.
Senario perubahan taktik politik itu turut diperlihatkan di peringkat negeri, seperti di Melaka apabila pimpinan PH mengesahkan penggunaan pendekatan ‘PH Plus’ bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang tanpa melibatkan kerjasama Barisan Nasional (BN).





