KETIKA konflik geopolitik, gangguan perdagangan dan kenaikan kos terus menggugat rantaian bekalan dunia, kesannya terhadap rakyat Malaysia setakat ini masih agak terkawal. Kestabilan relatif bekalan makanan, bahan api dan harga barangan yang dinikmati ketika ini sebahagiannya mencerminkan tindakan awal kerajaan dalam menyerap kejutan global.
Pengerusi Khazanah Research Institute (KRI), Dr Nungsari Ahmad Radhi berkata, antara tekanan utama berpunca daripada gangguan bekalan minyak mentah dan gas susulan gangguan laluan kapal di Selat Hormuz sejak Mac tahun ini. Lebih 20 peratus eksport minyak mentah dunia melalui laluan berkenaan, manakala harga minyak mentah meningkat daripada sekitar AS$60 kepada lebih AS$100 setong sekarang.

“Jika krisis ini berterusan dan bekalan minyak tidak boleh kembali keluar dari Selat Hormuz, bekalan minyak mentah juga akan kesuntukan selain harganya meningkat tinggi,” katanya kepada Utusan Melayu Plus baru-baru ini.
Bagaimanapun, Dr Nungsari berkata rakyat Malaysia tidak merasakan sepenuhnya tekanan tersebut kerana kerajaan menyerap sebahagian kesan kenaikan harga bahan api melalui subsidi. Melalui BUDI MADANI, harga RON95 kekal pada RM1.99 seliter manakala diesel RM2.105 seliter, selain kerajaan pada peringkat awal krisis memastikan bekalan beras, ubat-ubatan import dan bahan petrokimia seperti baja serta plastik mencukupi.

“Ini semua melindungi isi rumah daripada merasakan kesan krisis besar ini. Seolah-olah tidak ada krisis walaupun kita berada dalam krisis,” jelas beliau.
Menurut Dr Nungsari, langkah berkenaan turut membantu mengawal inflasi, namun pendekatan subsidi mempunyai had kerana peningkatan perbelanjaan perlu dibiayai melalui hasil kerajaan. Jika krisis berlarutan, kemampuan mengekalkan subsidi perlu mengambil kira kedudukan kewangan negara.

“Kerajaan tidak boleh meminjam untuk memberi subsidi. Ia perlu dibiayai oleh hasil,” katanya lagi.
Dalam jangka panjang, beliau berpandangan, Malaysia perlu mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api dan mengukuhkan sumber domestik melalui pembangunan pengangkutan awam, sumber tenaga alternatif serta peningkatan keterjaminan makanan. Katanya, pengeluaran beras tempatan kini hanya mencukupi kira-kira 55 peratus daripada keperluan negara.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif FOMCA, Dr Saravanan Thambirajah berkata, campur tangan kerajaan penting sebagai penampan ketika berlaku gangguan bekalan dan kenaikan harga global. Langkah memastikan bekalan barangan asas mencukupi, kawalan harga bagi barangan tertentu, subsidi bersasar dan pemantauan pasaran dapat mengurangkan kesan langsung terhadap perbelanjaan isi rumah.

“Kadangkala pengguna tidak merasai sepenuhnya kenaikan kos sebenar kerana sebahagian tekanan tersebut telah diserap melalui subsidi, kawalan harga atau langkah kerajaan memastikan bekalan mencukupi,” kata beliau.
Dr Saravanan berkata, tanpa intervensi, kenaikan harga bahan mentah, makanan dan bahan api boleh meningkatkan kos pengangkutan serta operasi perniagaan sebelum sebahagiannya dipindahkan kepada pengguna melalui harga barangan dan perkhidmatan yang lebih tinggi. Bagaimanapun, intervensi kerajaan perlu dilaksanakan secara bersasar dan tidak boleh menjadi penyelesaian kekal.

Pengguna juga kata beliau, perlu memainkan peranan dengan mengutamakan keperluan berbanding kehendak, merancang perbelanjaan, mengurangkan pembaziran dan menyediakan simpanan kecemasan.
“Jangan panik apabila berlaku isu bekalan kerana pembelian berlebihan sendiri boleh menyebabkan kekurangan sementara dan mendorong kenaikan harga. Bandingkan harga, beli mengikut keperluan dan elakkan pembaziran,” katanya.
Krisis bekalan global menunjukkan kestabilan yang dirasai pengguna bukan bermakna risiko telah berakhir. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa perlindungan kerajaan sedang berfungsi. Ketika ketidaktentuan berlarutan, daya tahan negara perlu disokong dengan pengukuhan sumber domestik serta amalan pengguna yang lebih berhemah.





