Daya tahan perniagaan bermula sebelum krisis melanda

KETIDAKTENTUAN global bukan lagi isu yang jauh daripada realiti perniagaan Malaysia. Konflik geopolitik, gangguan perdagangan dan rantaian bekalan boleh diterjemahkan kepada kenaikan kos bahan mentah, tenaga dan logistik, selain perubahan permintaan yang akhirnya memberi tekanan kepada operasi syarikat tempatan.

Bagi sesebuah perniagaan, peningkatan kos tidak hanya bermakna harga input menjadi lebih mahal.

Peningkatan kos boleh menekan aliran tunai, mengecilkan margin keuntungan dan menjejaskan kapasiti pengeluaran. Bagi sesetengah syarikat, keadaan ini turut memerlukan penilaian semula terhadap pengambilan pekerja dan rancangan pengembangan.

Dalam keadaan sedemikian, masa menjadi faktor penting. Intervensi dasar yang dilaksanakan sebelum tekanan berkembang menjadi gangguan yang lebih besar, berupaya memberi ruang kepada syarikat menyesuaikan operasi.

Timbalan Dekan City Graduate School, City University Malaysia, Prof Madya Dr Nor Fairuz Syazana Nor Fauzi berkata, krisis bekalan global perlu dilihat bukan semata-mata sebagai isu kenaikan harga, sebaliknya sebagai persoalan bagaimana risiko diurus dan daya tahan rantaian bekalan dibina.

Prof Madya Dr Nor Fairuz Syazana Nor Fauzi

“Kita mungkin tidak dapat mengawal apa yang berlaku di peringkat global, tetapi kita boleh mengurus sejauh mana kesannya sampai kepada rakyat,” katanya kepada UtusanMelayuPlus baru-baru ini.

Beliau yang juga pakar pengurusan strategik dan pengurusan risiko berkata, tindakan awal untuk memastikan bekalan keperluan terus tersedia, mempelbagaikan sumber bekalan dan mengurangkan tekanan kos penting bagi mengelakkan kejutan luaran daripada memberi kesan berlebihan kepada rakyat dan perniagaan.

Namun, sokongan kerajaan tidak seharusnya dilihat sebagai pengganti kepada keupayaan syarikat menyesuaikan diri.

Daya tahan yang kukuh memerlukan ekosistem yang saling melengkapi, dengan dasar kerajaan menyediakan ruang untuk bertindak, manakala industri memperkukuh kecekapan operasi, pengurusan kos, penggunaan teknologi dan perancangan kesinambungan perniagaan.

Pada peringkat syarikat, kepelbagaian pembekal dan pasaran juga semakin penting. Kebergantungan kepada satu sumber atau satu pasaran boleh meningkatkan risiko apabila berlaku gangguan, justeru perniagaan perlu mempunyai pilihan alternatif yang boleh diaktifkan dengan cepat.

PERSEDIAAN awal membantu perniagaan kekal stabil ketika berdepan ketidaktentuan global. GAMBAR hiasan

Dr Nor Fairuz Syazana berkata, persediaan sebelum krisis berlaku sama pentingnya dengan tindakan ketika krisis, termasuk melalui kepelbagaian sumber import, pengukuhan pengeluaran domestik, stok penimbal bagi

“Negara perlu mempunyai beberapa pilihan alternatif yang boleh diaktifkan dengan cepat apabila berlaku gangguan,” katanya.

Bagi sebuah syarikat, persediaan ini boleh diterjemahkan kepada langkah praktikal seperti mengenal pasti pembekal alternatif, menilai kebergantungan kepada input tertentu, menyemak keperluan stok dan menyediakan pelan kesinambungan operasi sekiranya berlaku gangguan.

Malaysia tidak mungkin mengelak sepenuhnya daripada kesan kejutan global dalam sebuah ekonomi yang saling bergantung. Ukuran sebenar daya tahan ialah sejauh mana negara dan sektor perniagaan mampu bertindak pantas, menyesuaikan strategi serta meminimumkan kesan terhadap operasi dan kehidupan rakyat.

Sebagai contoh, sebuah PKS yang bergantung kepada satu pembekal luar negara mungkin menghadapi gangguan operasi jika penghantaran tertangguh. Namun, jika syarikat itu lebih awal mengenal pasti pembekal alternatif atau menilai semula tahap stok kritikal, ruang untuk meneruskan operasi menjadi lebih besar.

Justeru, matlamat menghadapi ketidaktentuan global tidak seharusnya berhenti pada memastikan perniagaan terus bertahan. Yang lebih penting ialah membina syarikat dan ekosistem ekonomi yang lebih cekap, fleksibel dan bersedia menghadapi krisis seterusnya, kerana kita mungkin tidak mampu menentukan bila kejutan global akan berlaku, tetapi kita boleh menentukan sejauh mana kita bersedia menghadapinya.

 

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here