PEMBUBARAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dijangka diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pada jam 3 petang ini, sekali gus membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Menurut laporan Astro Awani, Ab Rauf dijadual mempengerusikan mesyuarat Exco pada tengah hari sebelum menghadiri Mesyuarat Pasca-Exco di Kompleks Seri Negeri.
Beliau juga dijangka mengadakan sidang media pada jam 3 petang bagi menjelaskan perkembangan berkaitan pembubaran DUN yang akan membuka laluan kepada PRN Melaka.
Spekulasi semakin hangat selepas mesyuarat Exco yang kebiasaannya berlangsung pada Rabu dilaporkan diawalkan ke hari ini.
Dalam perkembangan sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) turut dimaklumkan untuk hadir ke Seri Negeri pada petang ini.
Sumber itu juga memaklumkan kepada Astro Awani bahawa surat pembubaran DUN telah ditandatangani Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam sebelum beliau berlepas ke Jepun.
Bagaimanapun, sehingga kini belum terdapat pengesahan rasmi berhubung tarikh pembubaran DUN Melaka.
Sebelum ini, Ab Rauf beberapa kali menggunakan ungkapan `satu Jumaat lagi’ ketika ditanya mengenai perkara itu, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai tarikh pembubaran.
DUN Melaka mempunyai 28 kerusi, manakala penggal semasa akan berakhir pada 27 Disember ini sekiranya tidak dibubarkan lebih awal.





