Acu pisau pada ibu, ugut bunuh sepupu, lelaki dipenjara 12 bulan

SEORANG penganggur dipenjara 12 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Yong Peng, Batu Pahat hari ini atas dua pertuduhan mengacu pisau ke arah ibu kandung dan mengugut mahu membunuh sepupunya, dua bulan lalu.

Majistret Mustaqim Sukarno menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Zairi Kartubi, 31, selepas mengambil kira pengakuannya serta rayuan dan hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, tertuduh yang masih bujang didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengacu pisau ke arah ibu kandungnya, 70, dan sepupunya, 25.

Perbuatan itu dilakukan di hadapan sebuah rumah di Kampung Parit Haji Yusof, Sri Medan, di sini, kira-kira jam 2.45 petang, 31 Julai lalu, lapor Harian Metro.

Berdasarkan fakta kes, ketika berada di rumah ibu saudaranya, pengadu yang juga sepupu tertuduh ternampak tertuduh mengamuk sambil memarahi ibu kandungnya.

Pengadu cuba meleraikan kejadian itu, namun tertuduh tidak berpuas hati lalu mengacu pisau ke arahnya sambil mengeluarkan kata-kata ugutan untuk membunuhnya.

Bertindak atas laporan dibuat, polis menjalankan siasatan sebelum menahan tertuduh di perkarangan wad Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk tindakan lanjut.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Shahzleen Ibrahim manakala tertuduh diwakili peguam Siti Farha Farieb.

Selepas mendengar rayuan dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 4 Ogos lalu.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here