SEORANG penghantar makanan (P-hailing) berdepan detik cemas apabila seorang lelaki mengacukan pisau pemotong daging ke arahnya ketika sedang mengisi minyak motosikal di sebuah stesen minyak di Jalan Pasir Panjang, Kuala Terengganu, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa berusia 26 tahun didatangi seorang lelaki berusia 55 tahun yang menaiki motosikal jenis Honda Wave sebelum memarahinya tanpa sebab yang diketahui.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, suspek kemudian mengambil sebilah pisau pemotong daging yang berada di dalam bakul motosikalnya sebelum mengacukannya ke arah mangsa.
Menurutnya, mangsa yang ketakutan kemudian melarikan diri bagi mengelakkan dirinya dicederakan suspek.
Katanya, kejadian berlaku ketika mangsa sedang mengisi minyak sebelum suspek berhenti di belakang motosikalnya.
“Suspek kemudian tiba-tiba menjerit, namun mangsa tidak mengendahkan perbuatan suspek itu.
“Selepas itu, suspek memarahi dengan berkata ‘ni sekor lagi lambat, mu ingat ni pam bapak mung ko’, (ni seorang lagi lambat, awak ingat pam ini bapa awak punya ke?) kemudian suspek mengambil sebilah pisau pemotong daging yang berada di dalam bakul motosikalnya lalu mengacukan ke arah mangsa,” katanya.
Azli berkata, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.
Menurutnya, suspek dikenali dengan panggilan ‘Zawawi’ kerana sering datang ke stesen minyak berkenaan untuk mengisi minyak motosikalnya, namun pekerja stesen minyak tidak mengetahui punca kejadian.
“Berikutan kejadian itu, polis merampas sehelai t-shirt, seluar panjang, sebuah motosikal jenis Honda Wave 110, sebilah pisau pemotong daging dan satu anak kunci.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan pihaknya akan mendapatkan permohonan reman ke atas suspek di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu selama empat hari bermula 10 hingga 13 Ogos ini bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau berkata, ujian air kencing terhadap suspek mendapati dia positif methamphetamine selain mempunyai 15 rekod kesalahan lampau membabitkan pelbagai kesalahan termasuk berkaitan dadah dan jenayah.
“Suspek juga merupakan individu yang dikehendaki polis berkaitan kesalahan dadah,” katanya.





