Tampar, pukul anak tiri, lelaki didenda RM12,000

SEORANG pemandu van pelancong didenda RM12,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini selepas mengaku bersalah menganiaya dua anak tirinya dengan menampar serta memukul menggunakan anak lesung batu dan seterika, bulan lalu.

Hakim Suhaila Haron turut memerintahkan Joharis Mahmod, 48, menjalani hukuman penjara 10 bulan jika gagal membayar denda, selain dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan cagaran RM2,000 dan melaksanakan khidmat masyarakat selama 36 jam bagi setiap pertuduhan.

Joharis didakwa atas dua pertuduhan menganiaya anak tirinya berusia sembilan tahun lima bulan dan 17 tahun enam bulan sehingga menyebabkan kecederaan pada badan dan kepala.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah unit pangsapuri di Cheras, Kuala Lumpur, antara jam 10.30 malam hingga 11 malam, 13 Ogos lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, laporan polis dibuat seorang guru wanita sebelum siasatan mendapati tertuduh menampar pipi kiri dan kanan mangsa pertama sebanyak lima kali.

Joharis turut mencederakan mangsa kedua menggunakan anak lesung batu dan seterika.

Pemeriksaan awal doktor mengesahkan terdapat kesan lebam pada pipi kiri dan kanan mangsa pertama, manakala mangsa kedua mengalami beberapa kesan lebam pada belakang badan dan kulit kepala.

Timbalan Pendakwa Raya Md Subri Hashim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya menjaga anak yang diamanahkan kepada mereka.

“Dalam kes ini, laporan polis terhadap tertuduh dibuat oleh guru yang mengajar mangsa. Ini menunjukkan kesedaran orang awam mengenai kes seperti ini,” katanya, lapor BH.

Joharis yang tidak diwakili peguam memohon hukuman diringankan atas alasan berpendapatan RM3,500 sebulan dan menanggung keluarga, manakala isterinya tidak bekerja.

“Saya janji tidak akan melakukan kesalahan ini lagi,” katanya dalam keadaan sebak.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here