PERSATUAN Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) mengambil maklum keputusan kerajaan berhubung pemansuhan syarat 30 peratus ekuiti Bumiputera bagi syarikat yang mengendalikan institusi pendidikan swasta di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Presidennya, Mohd Azamanizam Baharon menegaskan bahawa agenda memperkukuh pemilikan dan penyertaan ekonomi golongan berkenaan perlu sentiasa diberi perhatian menerusi dasar yang lebih menyeluruh, konsisten dan berimpak tinggi.
“Penyertaan Bumiputera tidak seharusnya terhenti kepada soal ekuiti semata-mata, tetapi perlu diperkasa melalui akses pembiayaan, kontrak, pasaran, pembangunan vendor, teknologi dan peluang pertumbuhan perniagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kementerian Pendidikan (KPM) semalam bersetuju untuk tidak lagi mewajibkan pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti Bumiputera bagi syarikat sendiri yang mengendalikan institusi pendidikan swasta (IPS).
Dalam kenyataan itu KPM memaklumkan, perkara itu dipersetujui hasil sesi perbincangan antara kementerian berkenaan dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Menurut KPM, pihaknya mengambil maklum pandangan yang dibangkitkan berhubung syarat pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti Bumiputera bagi IPS tertentu yang dimiliki melalui syarikat sendirian berhad seperti yang dinyatakan dalam Buku Pernyataan Dasar IPS yang diterbitkan pada 2006.
Mohd Azamanizam menambah, pihak persatuan turut sedia bekerjasama rapat dengan pihak kerajaan bagi merangka strategi baharu dalam memperkukuh kedudukan ekonomi Bumiputera secara berterusan.
“PERDASAMA bersedia menjadi rakan strategik Kerajaan dalam merangka pendekatan baharu yang mampu meningkatkan ekuiti dan penguasaan ekonomi Bumiputera secara mampan, kompetitif dan berdaya tahan,” ujar beliau.





