SEORANG penuntut lelaki sebuah kolej di Selangor sanggup menunggang motosikal selama empat jam untuk bertemu kekasihnya sebelum dicekup kerana disyaki berkhalwat di sebuah hotel di Bukit Gambir, Johor Bahru, semalam.
Penuntut lelaki berusia belasan tahun itu ditahan pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) kerana berdua-duaan dengan wanita yang juga penuntut sebuah kolej di Pagoh, Muar, kira-kira jam 11.45 malam.
JAINJ berkata, penguat kuasa menjalankan operasi sebelum mengetuk pintu bilik hotel yang kemudian dibuka seorang lelaki.
Pemeriksaan mendapati keadaan bilik agak gelap sebelum pegawai JAINJ bertanya lelaki terbabit tinggal bersama siapa, namun dia mendakwa berseorangan.
Bagaimanapun, selepas lelaki itu menutup pintu tandas, seorang wanita keluar dari ruang berkenaan dengan memakai baju-T dan seluar panjang.
Hasil soal siasat mendapati pasangan terbabit mengaku tidak mempunyai sebarang ikatan dan kedua-duanya berasal dari Selangor.
“Mereka mengaku sudah berkenalan sejak di bangku sekolah namun terpaksa berjauhan kerana melanjutkan pelajaran,” menurut JAINJ.
Pasangan itu akan didakwa mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor kerana disyaki berkhalwat.




