ASEAN tidak boleh terus kekal sebagai pengguna teknologi semata-mata, sebaliknya perlu beralih menjadi pencipta inovasi digital bagi memimpin masa depan ekonomi rantau ini.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, penguasaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan data geospatial (GeoAI) amat penting bagi membolehkan negara serantau mendepani cabaran global secara bersama.
“Sekiranya ASEAN berhasrat untuk memimpin masa depan digital, kita mesti bersedia melabur dalam bakat, inovasi dan kerjasama hari ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup ASEAN GeoAI Fusion 2026 di Bukit Jalil, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah dan Pengarah Urusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Abdul Karim Fakir Ali.
Menurut Nie Ching, gabungan AI dan data geospatial membolehkan pihak berkuasa merangka penyelesaian praktikal seperti ramalan risiko banjir, amaran awal bencana, serta perancangan bandar yang lebih mampan dan cekap.
Inisiatif anjuran MCMC bersama rakan strategik ASEAN itu berjaya menarik penyertaan lebih 1,100 peserta, sebelum 48 finalis daripada 17 pasukan bertindak membangunkan penyelesaian cabaran dunia sebenar.
Sementara itu, MCMC dalam kenyataannya memaklumkan, GeoAI berpotensi menyokong agenda transformasi digital negara menerusi analisis data geospatial yang lebih pantas, tepat dan berasaskan bukti untuk kegunaan perkhidmatan awam.
Program tersebut turut menyediakan ruang perkongsian pengetahuan dan pembinaan jaringan strategik antara peserta, pakar industri, pihak akademia serta pembuat dasar dari seluruh rantau ASEAN.




