SURUHANJAYA Koperasi Malaysia (SKM) terus memperkukuh sosioekonomi komuniti Orang Asli menerusi penyerahan sebuah bot dalam Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kepada Koperasi Orang Asli Kampung Sungai Tiang Berhad.
Penyerahan kemudahan itu disempurnakan oleh Pengerusi SKM, Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal bersempena Program Aspirasi Sosioekonomi Koperasi Orang Asli (PASTI ASLI) Negeri Perak Siri 2 Tahun 2026 yang diadakan di Kampung Orang Asli Sungai Tiang di Gerik semalam.

Ahmad Norihan berkata, penyediaan kemudahan berasaskan keperluan tempatan itu berupaya mengoptimumkan potensi ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan ahli koperasi secara lebih inklusif.
“Melalui pendekatan berkoperasi, komuniti bukan sahaja berpeluang menjana pendapatan dan mengembangkan aktiviti ekonomi, malah dapat membangunkan potensi serta sumber setempat secara kolektif untuk manfaat bersama,” katanya dalam kenyataan.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Perak, Datuk Salbiah Mohamed.

Menurut kenyataan itu, penganjuran program PASTI ASLI Siri 2/2026 itu mencerminkan komitmen berterusan untuk menjadikan gerakan koperasi sebagai platform pemerkasaan sosioekonomi Orang Asli secara lebih tersusun, inklusif dan mampan.
Bagi memastikan keberkesanan inisiatif tersebut, SKM akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama kerajaan negeri Perak dan agensi berkaitan supaya koperasi kekal menjadi pemangkin utama pembangunan keusahawanan komuniti.
Langkah ini juga selaras dengan aspirasi SKM untuk memastikan manfaat pembangunan gerakan koperasi dapat dinikmati secara saksama dan menyeluruh oleh segenap lapisan masyarakat di seluruh negara.
Katanya, sumbangan bot berkenaan bertujuan meningkatkan akses mobiliti penduduk yang bergantung kepada laluan air, sekali gus membuka ruang pergerakan dan aktiviti perniagaan bagi masyarakat setempat.





