KASTAM Thailand merampas wang tunai mata wang Malaysia bernilai RM870,000 yang disembunyikan dalam sebuah kenderaan memasuki Thailand melalui pusat pemeriksaan sempadan Sadao, Ahad lalu.
Seorang jurucakap keselamatan Thailand berkata, seorang lelaki ditahan kerana memiliki wang berkenaan.
Katanya, rampasan dilakukan susulan maklumat yang diperoleh melalui risikan dan siasatan.
“Pegawai kastam dari Bahagian Kawalan Kastam, Pejabat Kastam Wilayah 4 dan Kastam Sadao memeriksa kenderaan berdaftar Thailand itu dan menemukan wang tunai yang disembunyikan di dalamnya.
“Wang tunai, yang dianggarkan bernilai kira-kira 7.1 juta baht, dirampas di bawah Seksyen 166 Akta Kastam Thailand 2017. Pemilik atau pemegangnya mungkin berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 242 yang dibaca bersama Seksyen 252 akta yang sama,” kata jurucakap itu, lapor Buletin TV3.
Jurucakap itu memaklumkan kes diserahkan kepada pihak Kastam Sadao untuk tindakan undang-undang selanjutnya.
“Pihak berkuasa Thailand masih menjalankan siasatan lanjut, termasuk mengenai tujuan wang tunai itu dibawa masuk ke Thailand,” tambah jurucakap itu.





