BEKAS guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Krai, hari ini, selepas mengaku salah mencederakan murid Tahun Lima dengan menendang muka kanak-kanak itu ketika dalam kelas, dua tahun lalu.
Majistret Rais Imran Hamid mengenakan hukuman denda itu selepas tertuduh, Abdullah Mustakim, 33, mengaku salah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Beliau juga memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda itu.
Abdullah didakwa dengan sengaja mencederakan kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun ketika kejadian, dengan menendang muka mangsa menggunakan kaki kanan, dalam kelas di sebuah sekolah di sini, pada jam 2.30 petang, 23 Oktober 2024, lapor Buletin TV3
Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun, atau denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mazlinda Mohd Nor, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Farazalila Fauzi.
Terdahulu, Mazlinda memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal, mengambil kira faktor kepentingan awam supaya dia tidak mengulangi kesalahan sama kerana mangsa bekas pelajarnya sendiri.
Farazalila pula memohon hukuman minimum berikutan tertuduh yang sebelum ini bekerja sebagai guru KAFA, sudah kehilangan pekerjaan.
Katanya, tertuduh kini bekerja sebagai buruh dengan pendapatan RM1,000 sebulan dan menanggung isteri serta tiga anak.





