DUA pengarah Mandiri Development Centre Sdn Bhd ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penerimaan dana yang disyaki hasil daripada aktiviti haram yang bermula pada tahun 2024 hingga 2026.
Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail yang mengesahkan penahanan itu berkata, kedua-dua individu berkenaan ditahan oleh Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram di Jalan Tun Razak, di Kuala Lumpur pada jam 3.53 petang semalam.
Katanya, penahanan itu dibuat susulan pembukaan kertas siasatan pada 10 September lalu berdasarkan hasil semakan pihak polis terhadap syarikat berkenaan.
“PDRM akan meneruskan siasatan secara menyeluruh dengan berlandaskan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes ini.
“Ia termasuk dalam aspek penyimpanan, pemindahan, penggunaan serta kemasukan atau pengeluaran wang yang disyaki mempunyai kaitan dengan hasil daripada aktiviti haram,” katanya.
Mohd Khalid berkata, orang ramai di ingatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes yang sedang berjalan itu.
“Sebarang kenyataan atau penyebaran maklumat yang tidak berasaskan fakta boleh mengelirukan masyarakat serta berpotensi menjejaskan kelancaran proses siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1), Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613],” katanya.
Semalam, media melaporkan polis menahan Pengarah Eksekutif pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Mandiri, Amir Hariri Abdul Hadi, dan Pengarah Kewangannya, Dobby Chew.
Pengasas bersama Mandiri, Mohammad Alshatri Abdullah dilaporkan berkata, kedua-dua individu itu ditahan selepas mereka hadir ke balai polis untuk memberi keterangan sebagai sebahagian daripada siasatan kes berkenaan.
Menurut beliau, kedua-duanya memberikan kerjasama kepada pihak penyiasat, termasuk menyerahkan dokumen yang diminta oleh polis.





